Monday 22 July 2013

[ISU SEMASA] Jerebu Kembali Lagi

Keadaan Jambatan Sultan Ismail yang menghubungkan Muar dan Ledang


19 titik panas dikesan di Malaysia

Kuala Lumpur: Lima kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam, meningkat daripada hanya dua lokasi kelmarin.

Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga jam 4 petang semalam, Muar merekodkan bacaan IPU 102; Bandaraya Melaka (101); Bukit Rambai (122); Banting (111) dan Cheras (117). Selain itu, 33 kawasan lain mencatatkan bacaan sederhana seperti Nilai dengan IPU 97 dan Pelabuhan Klang (93).

JAS menjelaskan punca kemerosotan kualiti udara disebabkan jerebu merentasi sempadan, pencemaran ozon di permukaan bumi seperti di Cheras yang lazimnya berlaku pada awal petang akibat tindak balas nitrogen oksida dan sebatian organik meruap daripada pelepasan ekzos kenderaan bermotor.

Jerebu tahap sederhana

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) mengikut maklumat satelit NOAA-18 kelmarin, bilangan titik panas di Sumatera terus meningkat kepada 261, berbanding 159 pada 20 Julai lalu. Di Malaysia, 19 titik panas dikesan kelmarin, iaitu tujuh di Johor, Kelantan dan Pahang (4), Perak (2), Selangor dan Sabah (1).

Di Melaka, Pengarah JAS negeri, Abd Hafiz Ab Samad, berkata selain Bukit Rambai, IPU di Bandaraya Melaka masih pada tahap sederhana iaitu 92, manakala di Shah Alam, Pengarah JAS Selangor, Siti Zaleha Ibrahim, berkata IPU tidak sihat dicatatkan di Banting pada tahap 111 setakat 12 tengah hari semalam.

Di Johor Bahru, Muar satu-satunya daerah dengan status tidak sihat apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala daerah lain di Johor masih sederhana. Pada 23 Jun lalu, Muar dan Ledang diisytiharkan darurat akibat jerebu selepas bacaan IPU melebihi 700 iaitu tahap berbahaya sehingga 211 sekolah terpaksa ditutup.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan cuaca berjerebu kembali menyelubungi Riau dan mengurangkan jarak pandangan pada sebelah pagi semalam sehingga 70 meter di Lapangan Terbang Pekanbaru serta 800 meter di Dumai berikutan meningkatnya titik panas yang dikesan, menandakan kebakaran hutan berlaku semula di sejumlah kawasan di wilayah itu.

0 comments:

Post a Comment