Monday, 22 July 2013

Sedekah Bulan Puasa Padam Azab Kubur

Amalan pada bulan Ramadan yang mungkin sebahagian kita terlepas pandang ialah amalan memberi sedekah juadah berbuka kepada jiran tetangga. Suatu ketika dulu amalan ini sentiasa diberikan perhatian dan diamalkan. Natijahnya lahirlah masyarakat bersatu padu, saling hormat-menghormati.

Namun malangnya mutakhir ini amalan memberi sedekah kepada jiran tetangga agak kurang dipraktikkan. Justeru, marilah sempena bulan yang mulia ini kita menghidupkan semula amalan ini, mudah-mudahan perpaduan dan ukhuwah antara jiran tetangga Muslim kembali segar.
Rasulullah insan paling dermawan

Berdasarkan sirah Rasulullah SAW, Baginda adalah insan yang paling dermawan dan lebih memberi derma terutama pada Ramadan.

Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan sifat dermawan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Riwayat Bukhari)

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda, barang siapa yang memberi minum orang berpuasa dengan seteguk air, nescaya Allah akan memberi minum kepadanya daripada telaga Nabi SAW yang mana ia tidak akan dahaga ketika di padang Mahsyar sehingga masuk ke syurga.

Pada Ramadan mulia ini, Allah SWT telah memperlihatkan sifat Maha Pemurah terhadap hamba-Nya. Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang mengerjakan amalan sunat, pahalanya sama dengan amalan wajib. Dan barang siapa yang melakukan amalan wajib, pahalanya sama seperti melaksanakan 70 amalan wajib yang sama.”
Sesungguhnya seseorang individu yang gemar bersedekah tidak akan mengurangkan hartanya bahkan Allah SWT akan menambah rezekinya. Ini ditegaskan Baginda SAW dalam sabdanya: “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah.” (Riwayat Tirmidzi)

Selain itu, amalan sedekah yang dilakukan oleh seorang Muslim dengan ikhlas akan berupaya memadamkan kesengsaraan azab kubur.

Bagi insan yang bijaksana, mereka sentiasa memikirkan apakah tindakan yang boleh dimanfaatkan setelah merasai nikmat dikurniakan Allah SWT kepadanya. Memperbanyakkan bersedekah satu amalan yang dituntut syarak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid, ayat 18)

Kikis sifat bakhil 

Bersama kita mengikis sifat bakhil dalam diri dan memulakan penghijrahan sikap dengan yakin akan janji Allah SWT yang sememangnya benar semata-mata. Walau kita dilanda kesempitan wang sekalipun, kita masih lagi boleh bersedekah dengan cara lain seperti mana dianjurkan.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Bukankah Allah telah memberimu apa yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan tasbih adalah sedekah, takbir sedekah, tahmid sedekah, tahlil sedekah, amar makruf sedekah, nahi mungkar sedekah.” (Riwayat Muslim)

Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan pada Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah SWT di hari akhirat kelak.

Konsep ‘memberi’ (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan saja pada Ramadan kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya.

Sedekah dapat menghakis sifat kedekut dalam diri di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

Satu peringatan buat kita, usahlah kita mengungkit-ungkit sedekah yang telah dihulurkan kerana perbuatan itu akan merugikan kita semua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan ia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka perumpamaan orang itu ialah seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah ia (batu tadi) bersih.
Mereka tidak menguasai (beroleh) sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Sumber: Berita Harian


0 comments:

Post a Comment